Rintis-rintis hujan turun membasahi bumi tiba-tiba disusuli pula dengan sinaran cahaya matahari, hujan panas. Waktu seakan memahami apa yang sebenarnya sedang aku hadapi. Semalam aku menerima satu khabar gembira dari Zarina yang menyatakan kami berdua telah lulus ujian perkhidmatan yang kami duduki pada bulan Ogos yang lalu. Maknanya, aku dan Zurina layak mendapat anjakan gaji pada tahun ini. Alhamdulillah… Walaupun surat keputusan ujian itu belum diterima tetapi aku yakin khabar dari Zurina itu bukan khabar angin semata-mata.
Zurina bekerja sebagai Pembantu Tadbir di PPD Hiliran dan menjadi pembantu Pn. Maznah Haji Selikin selaku Ketua Unit Perkhidmatan di Pejabat Pelajaran Daerah berkenaan. Zurina diantara kawan seangkatan dalam jawatan Pembantu Tadbir yang selalu menjadi orang pertama yang menyampaikan ‘berita terkini’ kepada kami yang bertugas di sekolah-sekolah berdekatan.
Hari ini pula, seperti terbitnya hujan panas seakan mengerti betapa ‘kepanasan’ hati ku ketika ini. Cerita lulus ujian semalam terasa sudah tidak membawa makna langsung kepada ku. Tiap langkah yang cuba diatur seperti tidak dapat diteruskan. Surat keputusan perpindahan anggota kakitangan sokongan sudah dikeluarkan dan diedarkan ke sekolah. Permohonan aku untuk berpindah “Tidak Diluluskan Atas Kepentingan Perkhidmatan”. Helaian surat itu ku lihat sudah seperti sampah, ikut hati mahu sahaja ia ku renyukkan dan dibuang dalam tong sampah. Oh..! Kenapa tiap tahun permohonan aku tidak diluluskan? Geram. Amarah menguasai diri. Bila difikirkan, kepada siapa aku harus melemparkan rasa marah ini? Adakah kepada Guru Besar ku? Atau aku harus marahkan pegawai berkaitan yang mengurus hal perpindahan? Nak salahkan siapa? Sesungguhnya, aku tidak harus berfikiran sempit begitu. Mungkin belum tiba waktunya untuk aku berangkat pergi dari sekolah ini.
SK Hiliran… Sekolah pertama aku ditempatkan ketika aku mendapat tawaran kerja sebagai Pembantu Tadbir. Tahun ini masuk tahun ke-6 aku berkhidmat disini. Hari pertama melapor diri aku merasakan dunia ini agak asing sekali. Biasalah, bila kita berpijak kaki di bumi asing yang bukan tempat tanah tumpah darah sendiri, begitulah rasanya. Tak kenal maka tak cinta…emmm…
Masuk tahun ke-6 selama aku disini sudah 3 orang Guru Besar bersilih ganti menjadi ketua kami. Cikgu-cikgu pun ada yang berpindah keluar tiap tahun, tak kurang juga yang berpindah masuk. Mempunyai seramai 25 orang guru dan 7 orang anggota sokongan serta 321 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar melayu, melanau, iban dan cina.
Keseronokan bekerja di sekolah ini memang ada bila aku rasakan ketika bekerjasama dengan staf-staf yang seakan ‘satu kepala’. Suasana bekerja tidak akan seteruk yang difikirkan jika ada sebilangan guru yang tidak terlalu cerewet dan tidak hanya tahu memberi arahan tanpa turut sama membantu membuat kerja. Iya… bagi aku antara ciri-ciri untuk membentuk semangat bekerja adalah termasuk dalam alasan-alasan itu. Jika dalam senarai sepuluh, pasti ada seorang atau dua dalam senarai itu yang cukup ‘menyesakkan’ hati. Dan yang paling tak sedap mata memandang ialah jika ada sebilangan daripada mereka yang menjadi ‘kaki bodek bos’. Nak bodek bos dengan berniat untuk apa… pun aku tidak pasti. Cuma yang jelas, aku cukup terkilan sangat sekiranya ada bos-bos yang termakan dengan bodek.
“Tak perlu kecewa sangat lah Marlia… tahun depan kau cuba lagi..” Fatihah cuba memberi semangat.
“Mestilah aku kecewa Fati, kau bayangkan… tiap tahun aku isi borang yang sama tapi keputusan tetap tidak berubah dan tidak menyebelahi aku”. Jawapan ku kepada Fatihah sedikit emosi. Fatihah hanya mempu tersenyum mendengar.
Fatihah Deramin, anak jati kampung Hiliran. Seorang yang agak pendiam dan berkulit hitam manis. Sampai bila-bila pun dia tidak akan perlu untuk memohon pindah kerana Fatihah sekarang tinggal bersama keluarga sendiri. Tiap kali apabila Fatihah tahu aku dan Samantha ada mengisi borang pindah, dia pasti akan mengeluh hampa. Alasannya, dia tidak mahu aku dan Samantha berpindah dari sini kerana tidak sanggup kehilangan kawan seperti kami berdua. Itulah Fatihah. Dia tidak sanggup berjauhan dengan orang-orang yang paling rapat dengannya. Aku beranggapan bahawa Fatihah pastinya tidak pernah merasa berjauhan dari keluarga seperti aku dan Samantha. Memang beruntung kalau dapat bekerja ditempat sendiri. Kalau esok, Fatihah dapat bakal suami orang sini juga lagilah beruntung. Aku pernah suarakan perkara ini kepada Fatihah. Fatihah hanya berdiam diri mendengar usikan ku itu dan langsung tidak berkata apa-apa. Mungkinkah apa yang aku katakan telah menyinggung perasaan Fatihah? Lidah ku menjadi kelu untuk berkata lanjut. Dari riak wajah Fatihah, dapat aku membayangkan kemungkinan besar dia ada menyimpan satu cerita yang tidak ingin dikongsikan dengan orang lain.
Aku dan Samantha adalah antara staf-staf sekolah yang tidak pernah serik-serik mengisi borang pindah pada setiap tahun. Mungkin sehingga pada masa yang ditakdirkan kami berdua berjaya berpindah barulah berhenti mengisi. Kalimah itulah yang kami berdua setia pegang.,hemmm… Aku pernah telefon dan bercakap sendiri dengan pegawai di JPN yang mengurus hal perpindahan AKS, bila aku memperkenalkan diri, pegawai itu menjawab…”Oh.. saya sudah hafal nama cik..”. Rasa terkedu mendengar jawapan itu, nak tergelak besar pun ada. Mana kan tidak, kalau dah dalam setahun ada 2 kali permohonan dibuka, cubalah hitung kalau sudah masuk 6 tahun aku berkhidmat, nama Marlia Bahren saja yang tertera pada borang pindah. Sampaikan Guru Besar pun sudah tidak larat hendak berkata apa-apa.
Samantha Lawrance, seorang guru yang tinggi lampai dan cantik manis orangnya, merupakan seorang lepasan universiti dalam jurusan Bimbingan & Kaunseling. Cikgu Samantha datang lebih awal 3 tahun dari aku di SK Hiliran ini. Berasal dari Kota Siaran, berbangsa iban tetapi cukup fasih bertutur melayu. Fatihah, Cikgu Samantha dan aku adalah teman serumah yang paling rapat dibawah bumbung SK Hiliran ini. Itu yang aku rasakan. Aku bersyukur, setibanya aku di bumi Hiliran ini aku telah temui insan yang bergelar sahabat seperti Fatihah dan Samantha.
Akan bersambung...nantikan..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan