Cinta Cikgu Razman

Cinta Cikgu Razman Episod Ke 3 diterbitkan lagi, 
teruskan pembacaan anda disini...
terima kasih.
********************************************

Nak aku canangkan kepada dunia, menyatakan perihal Adam telah ‘membuang’ aku, itu sudah cukup untuk menambah perisa dalam ‘masakan’ mereka-mereka yang menjadi penyibuk.  Nak aku perjelaskan kepada khalayak tentang pengakuan Adam telah terlanjur dengan perempuan lain sehingga mengandung, semata-mata untuk menegakkan kebenaran yang sebenarnya aku tidak bersalah, patutkah aku lakukan semua itu?  Atau, aku akan bomohkan Adam agar dia kembali semula mencintai aku?  Atau aku akan bayar seorang bomoh untuk ‘sakitkan’ Adam agar dia menanggung kesakitan yang lebih berbisa dari kesakitan yang aku tanggung, supaya Adam akan tersiksa hidupnya sampai bila-bila.  Wajarkah tindakan aku begitu?  Subhanallah.

Biarlah Adam terus bahagia dengan dunianya.  Aku masih mampu meneruskan langkah kakiku tanpa dia walau ke mana sahaja selagi nadi ku berdenyut dan selagi aku ditetapkan iman oleh Allah s.w.t. untuk meneruskan hidup di dunia ini.  Sesungguhnya aku tidak pernah diajar oleh orang tua ku untuk mudah mengalah.  Aku tidak pernah dididik untuk berdendam dengan sesama insan di dunia yang hanya sementara ini.  Aku diajar oleh orang tua ku untuk sentiasa mensyukuri segala pemberian Tuhan kepada kita.  Arwah ayah sempat berpesan agar aku sentiasa berjiwa kental dan jangan mudah mengalah.  Aku sendiri yakin pada setiap ketentuan yang bukan kita pinta pasti ada hikmah berharga yang akan menjadi milik kita nanti.  Allah maha mengetahui dan Dialah yang maha berkuasa. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar.



Kata-kata Fatihah masih ku ingat.  Aku mahu Fatihah sedar, diantara kisah aku dan cerita dia bersama Maliki adalah terlalu jauh bezanya.  Aku menyifatkan kekejaman hati yang ada dalam diri Adam adalah sama dengan kecurangan munafik milik Fatihah.  Dan yang menjadi mangsa keegoan mereka adalah aku dan Maliki.  Sungguh…aku tidak dapat memaafkan Adam kerana memperlekehkan cinta suci aku.  Aku akan ingat ‘tikaman berbisa’ dari Adam sampai bila-bila dan sampai kehujung nyawa ku.  Aku juga tidak akan lupa sindiran hebat dari Fatihah yang singgah ditelinga ku. 

“Aku hargai persahabatan kita Fatihah, terima kasih atas ingatan itu...  demi sebuah persahabatan yang kukuh antara kita bertiga, aku akan simpan sahaja kata-katamu itu menjadi penghuni abadi lubuk hatiku”. 
Akan ku simpul rapi semuanya dan aku akan pastikan bahawa aku, Samantha dan Fatihah akan menemui sebuah cinta yang sebenarnya suatu hari nanti.





Samantha Lawrance

                Petang ahad yang mendung, guruh di langit sekali sekala berbunyi.  Mungkin sekejap lagi hujan akan turun.  Aku masih menanti kelibat Samantha yang belum muncul-muncul keluar dari perut bot expres.  Kebiasaannya pada hari ahad memang bot expres penuh dengan penumpang sebab pada hari itulah ramai yang balik dari kampung, pelajar-pelajar sekolah kembali ke sekolah dan penumpang-penumpang yang sengaja pergi ke bandar untuk membeli keperluan.  Bot expres adalah pengangkutan air utama di tempat ini sekiranya ingin ke bandar.  Akhirnya, Samantha muncul juga dengan membawa beg kecil di bahu kanan dan membimbit sebuah beg pakaian di sebelah tangan kiri.

                “Dah lama tunggu?  Samantha tercungap-cungap menuju kearah ku.
“Setengah jam lebih kurang… ramai sungguh penumpang, kan..”.  Aku menghidupkan enjin kereta, terus berlalu.
                “Iyalah.. nasib baik aku sempat ambil tempat duduk, ramai penumpang yang berdiri”.  Samantha duduk dengan selesanya disebelah ku sambil mengelap peluh didahinya dengan tisu.
                “Fatihah tak ikut sama ke..?” Samantha bersuara lagi.
                “Fatihah balik kampung jugak jumaat lepas, itu pun dia buat keputusan last minute, weekend ni cuma aku sorang di rumah, emmm…”.  Cerita ku kepada Samantha.
                “Ooo…..”  ringkas juga jawapan Samantha.

                Malam ini hujan lebat sungguh.  Ini agaknya kesudahan daripada kemendungan langit petang tadi.  Nak buka tv pun rasa tak selesa.  Majalah Mingguan Wanita bulan Mei terkini yang baru dibeli oleh Samantha di atas meja cuba ku baca.  Aku asyik membelek-belek helaian majalah sehingga tidak sedar Samantha telah keluar dari biliknya dan duduk disebelahku lalu menghulurkan sepucuk sampul surat berwarna merah jambu. 

                “Eh.. apa pulak ni.. kad jemputan kahwin ke?”  Usik ku.
                “Bukalah dulu, baru tahu”.  Samantha tersenyum sambil menghirup teh yang sudah sejuk.

                Aku membuka sampul berwarna merah jambu itu dengan perlahan dan tidak sabar-sabar ingin tahu apa isi kandungannya.  Sekeping kad yang ‘cute’ tertera gambar teruna dan dara berpakaian pengantin lengkap dimuka hadapan.  “Kau nak kahwin Sam…?  Tahniah…tahniah sahabatku..!”  Ucapan ikhlas untuk Samantha.
                “Ok, thanks… aku harap kau dan Fatihah dapat datang masa aku kahwin nanti”.  Jelas sekali Samantha sedang berbahagia hari ini.  Insyaallah…  aku akan cuba datang pada hari bersejarah Samantha nanti.  Aku ingin melihat sendiri budaya mereka dalam majlis perkahwinan sebegitu.  Semestinya ia akan menjadi ingatan sepanjang hayat.  Bukan selalu pun aku menghadirkan diri ke majlis kahwin bangsa lain lebih-lebih lagi  Samantha itu adalah sahabat ku, aku mesti sedaya upaya meluangkan masa.

                Samantha akan berkahwin pada 2 Jun, bersamaan dengan hari mereka menyambut perayaan Hari Gawai.  Jejaka bertuah bernama Sylvester Monan berbangsa Bidayuh merupakan seorang guru lepasan universiti menjadi pilihan hati Samantha. Tugu cinta yang dibina cukup teguh sejak 5 tahun yang lalu akhirnya dilangsungkan dengan penyatuan abadi dijinjang pelamin.  Samantha tidak pernah berahsia tentang hubungannya dengan Sylvester.  Pernah suatu ketika dulu hubungan mereka dilanda badai lalu memaksa hati Sylvester untuk berubah sehingga membuat keputusan untuk ‘putus’ dengan Samantha.    Alasannya, konon disebabkan status mereka berbeza.  Sylvester sering mengungkit tentang Samantha yang berpendidikan tinggi lepasan universiti, memiliki sijil yang boleh dibanggakan.  Sylvester berasa rendah diri dan malu untuk berdamping dengan Samantha kerana dia berada di kedudukan yang lebih rendah pada masa itu  jika dibandingkan dengan Samantha.  Gred gaji Samantha juga mampu mengalahkan gred gaji Sylvester.  Mana mungkin perempuan boleh berada lebih tinggi dari kedudukan lelaki.  Hal itu yang membuatkan Sylvester tidak senang hati.  Dia merasa dirinya terlalu kerdil untuk berdiri di sebelah Samantha apalagi untuk menjadi suami kepada wanita itu.  Perkara ini sering disebut-sebut oleh Sylvester tiap kali mereka berjumpa.   Cinta dan kasih Sylvester menjadi semakin pudar semata-mata kerana status yang dirasakannya jauh berbeza. 

                Itu anggapan Sylvester.  Pada Samantha, itu semua langsung tidak dipedulikannya.  Dia tidak pernah berniat untuk membanggakan diri memiliki sijil universiti.  Samantha tidak pernah untuk membanding-bandingkan antara dia dan Sylvester.  Apa yang utama, cinta dan kasih terhadap Sylvester tetap satu dan tiada duanya.  Sylvester sanggup mengundur diri dari terus memiliki Samantha.  Keputusan Sylvester untuk berundur diri terlalu memedihkan hati kecil Samantha.  Bagaimana harus dia menerima keputusan itu dengan redha sedangkan hubungan mereka berdua langsung tidak punya masalah apa-apa.  Hanya kerana dengan sedikit perbezaan status yang ‘ditakuti’ oleh Sylvester itu, hubungan mereka menjadi sedikit retak menanti belah.
Samantha hanya membiarkan Sylvester melayan perasaannya sendiri.  Keputusan untuk berundur diri langsung tidak dipedulikan oleh Samantha.  Samantha masih tetap hati dengan pendiriannya untuk meneruskan hubungan cinta mereka.
                Kalau sudah jodoh tidak akan kemana.  Itulah yang terjadi kepada Samantha dan Sylvester.  Aku bangga melihat keteguhan hati Samantha yang tidak berbelah bahagi cintanya terhadap Sylvester.  Walau diduga dengan cubaan yang maha berat cinta mereka tetap utuh.  Selama mengenali Samantha, aku dapat merasakan dia seorang perempuan yang terlalu baik untuk dijadikan sahabat.  Sungguh bertuah seorang lelaki yang bakal mendampingi Samantha.  Dia bukan jenis yang terlalu berkira.  Samantha seorang yang ringan tangan, berbudi bahasa dan tidak cerewet.

Lembaran Baru

                Lebih kurang setahun selepas Samantha berkahwin aku telah berpindah sekolah.  Alhamdulillah.  Permohonan untuk berpindah ke Bandar Seri akhirnya diluluskan.  Dari rumah aku ke Bandar Seri kebiasaannya akan memakan masa lebih kurang 40 minit kalau naik kereta.  Aku berasa bersyukur sangat.  Selepas 2 bulan aku berpindah aku telah mendapat tahu Samantha juga telah berpindah ke Kota Siaran, tempat asalnya.  Aku turut gembira mendengar berita itu.  Akhirnya hasrat untuk berpindah terlaksana jua. 
                Aku masih teringat semasa aku menerima khabar gembira itu sebaliknya pula yang terjadi kepada Fatihah dan Samantha.  Mereka berdua seperti tidak mahu nak melepaskan aku melangkah pergi.  Bagaimana harus aku lalui semua itu sedangkan bertahun-tahun sudah aku mengharapkan datangnya saat gembira ini kenapa pula aku harus berundur.  Serba salah…  Yang akan ku tinggalkan disini adalah kawan sejati, di sana yang bakal ku datangi adalah dunia asal tempat lahir ku sendiri dan keluarga ku telah sedia menunggu.  Kenyataan yang harus kita terima, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahannya.  Tetapi, perpisahan antara aku, Samantha dan Fatihah hanyalah dipisahkan oleh lautan, beberapa daerah-daerah dan beberapa langkah sahaja.  Daerah Hiliran tidaklah terlalu jauh dari Bandar Seri.  Aku akan datang lagi…!

Kelmarin Samantha ada menghantar SMS kepada ku yang mengatakan dia sudah selamat melahirkan anak pertama lelaki, seberat 3.30kg.  Wah..  Bahagianya Samantha dan Sylvester ketika ini, setelah hampir 2 tahun berkahwin mereka sudah dikurniakan seorang cahayamata lelaki. 

Dan pagi ini pula aku sempat menjenguk seketika laman facebook yang menjadi kegilaan masyarakat zaman ini.  Ada mesej dari Fatihah.
                “Assalammualaikum sahabatku Marlia… Apa khabar?  Semoga sihatlah hendaknya disamping keluarga tercinta.  Aku tidak dapat untuk berbicara panjang disini.  Tujuan aku adalah untuk menyampaikan satu berita baik untuk kau…hujung bulan ni, aku akan berkahwin.  Sebetulnya, minggu lepas aku sudah poskan kad jemputan untuk kau dan Samantha, aku yakin kalian berdua sudah menerimanya.  Aku harap kau dapat hadir bersama pada majlis itu nanti.  Kalau pasti kau akan datang kau bagitau aku, k…  Insyaallah, aku akan jemput kau di pelabuhan Hiliran.  Wassalam.

                Tahniah buat Fatihah dan Samantha.  Hanya itu yang dapat aku ucapkan dari kejauhan ini. 



Akan bersambung lagi, tunguuuu.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan