Cinta Cikgu Razman 1



Rintis-rintis hujan turun membasahi bumi tiba-tiba disusuli pula dengan sinaran cahaya matahari, hujan panas. Waktu seakan memahami apa yang sebenarnya sedang aku hadapi. Semalam aku menerima satu khabar gembira dari Zarina yang menyatakan kami berdua telah lulus ujian perkhidmatan yang kami duduki pada bulan Ogos yang lalu. Maknanya, aku dan Zurina layak mendapat anjakan gaji pada tahun ini. Alhamdulillah… Walaupun surat keputusan ujian itu belum diterima tetapi aku yakin khabar dari Zurina itu bukan khabar angin semata-mata.
Zurina bekerja sebagai Pembantu Tadbir di PPD Hiliran dan menjadi pembantu Pn. Maznah Haji Selikin selaku Ketua Unit Perkhidmatan di Pejabat Pelajaran Daerah berkenaan. Zurina diantara kawan seangkatan dalam jawatan Pembantu Tadbir yang selalu menjadi orang pertama yang menyampaikan ‘berita terkini’ kepada kami yang bertugas di sekolah-sekolah berdekatan.
Hari ini pula, seperti terbitnya hujan panas seakan mengerti betapa ‘kepanasan’ hati ku ketika ini. Cerita lulus ujian semalam terasa sudah tidak membawa makna langsung kepada ku. Tiap langkah yang cuba diatur seperti tidak dapat diteruskan. Surat keputusan perpindahan anggota kakitangan sokongan sudah dikeluarkan dan diedarkan ke sekolah. Permohonan aku untuk berpindah “Tidak Diluluskan Atas Kepentingan Perkhidmatan”. Helaian surat itu ku lihat sudah seperti sampah, ikut hati mahu sahaja ia ku renyukkan dan dibuang dalam tong sampah. Oh..! Kenapa tiap tahun permohonan aku tidak diluluskan? Geram. Amarah menguasai diri. Bila difikirkan, kepada siapa aku harus melemparkan rasa marah ini? Adakah kepada Guru Besar ku? Atau aku harus marahkan pegawai berkaitan yang mengurus hal perpindahan? Nak salahkan siapa? Sesungguhnya, aku tidak harus berfikiran sempit begitu. Mungkin belum tiba waktunya untuk aku berangkat pergi dari sekolah ini.