Jangan Cari Dia Lagi Di FB


Facebook telah agak lama ditinggalkan. Tumpuan lebih diberikan kepada kerja rutin di rumah bersama keluarga dan tugas wajib 'periuk nasi'. Kita memang tidak pernah menyangka sesuatu yang berlaku dalam hidup akan menjadi 'luka' dan meninggalkan parut yang payah untuk dihilangkan.

Dia sudah tiada lagi dalam senarai rakan FB, tiada lagi celoteh...tiada lagi kata-kata manis dan puitis... tiada lagi ucap selamat dan tiada lagi kata dorongan mahupun apa-apa sahaja yang selalu ditulis dalam status FB pada setiap masanya.

Dia tidak merajuk..

bukan membenci dunia facebook..

tidak juga ingin menyendiri..

atau tidak mahu diganggu.

Dia mengundur diri juga tidak bermaksud kalah,
tidak juga bermakna dia mengiyakan tuduhan yang salah,
jauh sekali untuk meletakkan salah kepada sesiapa,

tetapi..

kerana dia manusia yang waras, yang punya akal fikir yang sempurna yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepadanya. Baginya, tiada makna langsung untuk meneruskan 'rencana yang tidak berpenghujung' semata-mata untuk menegakkan benang yang basah lebih-lebih lagi didinding facebook yang pada umumnya seluruh dunia tahu laman itu adalah bebas.

Mengapa perlu berbalas mulut, berlawan kata, menuding jari...menyalahkan dia, kamu, aku, kalian, mereka dan sesiapa sahaja sedangkan punca yang berlaku ini kita sendiri tidak tahu dari mana dan dari siapa. Subhanallah...


Hanya mampu membaca dan cuba menghayati tiap baris kata-kata yang dilemparkan. Dapat membayangkan...betapa hinanya dia dan keluarganya dimata mereka. Jangan hanya meletakkan silap ke bahu orang lain. Sebaiknya kita ingatlah, berfikirlah dimana silap dan salah diri sendiri.

Kesal atas apa yang berlaku... kerana tidak menyangka disaat ini masih ada manusia yang berakal cetek begitu.

Mohon ampun dan maaf kepada yang hidup atau yang telah kembali.

Yang baik itu datang nya dari Allah..

Yang jahat itu datangnya dari diri sendiri...

Cinta Cikgu Razman 1



Rintis-rintis hujan turun membasahi bumi tiba-tiba disusuli pula dengan sinaran cahaya matahari, hujan panas. Waktu seakan memahami apa yang sebenarnya sedang aku hadapi. Semalam aku menerima satu khabar gembira dari Zarina yang menyatakan kami berdua telah lulus ujian perkhidmatan yang kami duduki pada bulan Ogos yang lalu. Maknanya, aku dan Zurina layak mendapat anjakan gaji pada tahun ini. Alhamdulillah… Walaupun surat keputusan ujian itu belum diterima tetapi aku yakin khabar dari Zurina itu bukan khabar angin semata-mata.
Zurina bekerja sebagai Pembantu Tadbir di PPD Hiliran dan menjadi pembantu Pn. Maznah Haji Selikin selaku Ketua Unit Perkhidmatan di Pejabat Pelajaran Daerah berkenaan. Zurina diantara kawan seangkatan dalam jawatan Pembantu Tadbir yang selalu menjadi orang pertama yang menyampaikan ‘berita terkini’ kepada kami yang bertugas di sekolah-sekolah berdekatan.
Hari ini pula, seperti terbitnya hujan panas seakan mengerti betapa ‘kepanasan’ hati ku ketika ini. Cerita lulus ujian semalam terasa sudah tidak membawa makna langsung kepada ku. Tiap langkah yang cuba diatur seperti tidak dapat diteruskan. Surat keputusan perpindahan anggota kakitangan sokongan sudah dikeluarkan dan diedarkan ke sekolah. Permohonan aku untuk berpindah “Tidak Diluluskan Atas Kepentingan Perkhidmatan”. Helaian surat itu ku lihat sudah seperti sampah, ikut hati mahu sahaja ia ku renyukkan dan dibuang dalam tong sampah. Oh..! Kenapa tiap tahun permohonan aku tidak diluluskan? Geram. Amarah menguasai diri. Bila difikirkan, kepada siapa aku harus melemparkan rasa marah ini? Adakah kepada Guru Besar ku? Atau aku harus marahkan pegawai berkaitan yang mengurus hal perpindahan? Nak salahkan siapa? Sesungguhnya, aku tidak harus berfikiran sempit begitu. Mungkin belum tiba waktunya untuk aku berangkat pergi dari sekolah ini.

Dugaan Ku

Agak lama laman kecintaan ku ini sepi daripada idea-idea yang mencurah. Kesibukan yang teramat yang bermula dari penghujung tahun 2010 telah mendorong aku untuk melupakan sementara dunia ini. Sesungguhnya, ini adalah separuh dari dunia hidup aku. Aku tidak bisa melupakan...emmm!

Aku masih menyimpan 'ketat' kata azimat berupa kritikan yang sedikit 'kesat' dari seorang hamba Allah yang aku sendiri tidak tahu siapa dia...? Apa yang aku ingin nyatakan kepadanya adalah..."Terima Kasih" yang tidak terhingga kerana sudi singgah di laman blog ku yang serba kekurangan ini (mungkin pada anggapan dia) tetapi bagi aku, blog ku ini sudah cukup cantik untuk aku persembahkan secara ikhlasnya kepada umum. Maka dengan itu, sudi-sudikanlah menyinggahkan diri anda untuk menjadi sahabat setia ke laman ini. Kehadiran anda amat dihargai.

Teman-teman ramai yang memberi nasihat supaya aku jangan cepat melatah dengan dugaan ini. Dunia blogger yang aku ada ini baru 'setahun jagung' usianya. Siapalah aku untuk membanggakan diri dan mencanangkan kepada dunia bahawa blog aku ini yang terbaik. Jauh panggang dari api...! Namun, itu tidak bermakna insan-insan diluar sana boleh berkata sebarangan tentang hasil kerja aku.

Apa-apapun, aku bangga jugak setakat ini ramai sungguh teman-teman yang memuji blog peribadi ku ini. Ada juga yang memberi sokongan positif untuk aku meneruskan perjuangan berblogger. Ini la dugaan. Inilah langkah pertama aku untuk terus menjadi seorang penulis yang cemerlang.

Suka Menjadi Duka

Jangan mudah terlanjur kata, nanti merana...

Mulai dari hari ini aku akan ingat sentiasa bahawa dalam kehidupan yang fana ini mulut kena jaga. Jangan mudah menuturkan sebarang kata yang kita sendiri tidak tahu apakah kata-kata kita itu betul atau sebaliknya. kita juga tidak sedar adakah kata-kata kita itu akan membuatkan orang lain senang hati atau bersusah hati. Setiap kali menuturkan kata-kata berfikirlah dahulu, tapislah dahulu agar kita tidak menjadi penyebab kepada kehancuran hati orang lain.

Ada kala mainan akan menjadi sungguhan, gurauan akan menjadi tangisan dan mimpi mainan tidur itu tidak mustahil akan menjadi kenyataan.

Menghadiri majlis perkahwinan bagi anaknda sulung seorang kawan pada hari itu cukup membuatkan aku insaf dan mungkin juga semua orang yang hadir di majlis itu akan merasakan apa yang aku rasakan.

Majlis perkahwinan yang seharusnya disambut dengan hati yang gembira telah bertukar menjadi duka hanya kerana satu ketentuan ilahi yang cukup menduga.

Ternyata kita harus menerima kenyataan yang telah diatur oleh Allah swt dan kita telah akur dengan Qada' dan Qadar Nya.

Dalam keghairahan untuk melihat kedua mempelai bersanding, airmata turut menitis. Tangisan yang entah untuk apa, aku pun tidak pasti... yang nyata aku terlalu bersimpati terhadap seorang kawan yang telah menerima nasib sebegitu dan bersimpati dengan apa yang telah terjadi kepada pasangan pengantin itu. Subhanallah..

Aku tidak bercadang untuk bercerita panjang disini, cukup sekadar untuk renungan bersama.

Coretan Pendek Di SB...

Sudah masuk 2 minggu cuti sekolah 2010. Belum ada rancangan untuk ke mana-mana bersama anak-anak sebab aku masih bekerja seperti biasa. Tambahan jugak, 'projek besar' bersama abangnda masih perlu diteruskan dan mesti disiapkan dengan seadanya sebelum hadir tahun 2011, insyaAllah...

Begitulah bila hidup kita telah dikerumuni oleh anak-anak dan seorang ketua keluarga iaitu suami yang pada setiap detik dan minit perjalanan hidup mereka kita mesti cuba warnai dengan kebahagiaan yang sempurna.

Bila kita masih hidup membujang, terasa hidup kita belum lengkap sekiranya belum berumahtangga, betul ke...? Mungkin 'iya' bagi sesetengah individu... Mungkin juga 'tidak' untuk sebilangan orang. Kita ada pendapat masing-masing. Kita ada masa depan sendiri untuk diwarnai samada putih dan hitam... Semua kita didunia ini ada perancangan sendiri untuk hari muka, samada memilih untuk hidup sendiri, ambil anak angkat, tinggal bersama adik beradik, tinggal di rumah orang-orang tua atau akan memulakan hidup dengan berumahtangga bersama pasangan pilihan hati hingga hujung nyawa.



Bila Anda Diperhatikan

Kalau pergi ke mana saja, orang akan perhatikan kita dari atas sampai bawah. Sambil jeling-jeling mata, berbisik-bisik pulak sesama mereka. Lepas tu, ketawa terbahak-bahak. Ada yang senyum sinis, ada yang senyum kambing dan ada yang pura-pura macam nak tahan gelak, konon.

Korang 'terasa' tak kalau bertemu dengan orang-orang yang macam ni.... Tak kesah lah, samada kat tepi jalan, dalam opis tempat kerja, di hentian bas semasa kita menunggu bas, tunggu teksi atau dimana-mana. Yang pasti, orang-orang begini di semua kawasan, di mana-mana tempat mereka tetap ada.

Ikhlas la aku nak cakap, sebenarnya aku sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang mereka perhatikan dari atas sampai bawah, apa yang mereka suka sangat nak jeling. Apa cerita yang mereka bisik sesama sendiri pun aku tak pasti. Apa yang aku perasan, kalau mereka senyum...aku balas dengan senyum jugak.

Tapi, bila dah berada jauh sikit dari pandangan mereka, aku pasti akan 'terasa' jugak seperti ada yang tak betul jerr tubuh badan aku ni. Macam ada tak kena jer kat muka aku ni... Memang tak boleh tipu lah... mereka-mereka ni dalam ramai-ramai yang duduk melepak tu, ada yang berhati songsang kat kita. Tapi, kena fikir positif jugak... tidak semuanya mereka berfikiran begitu. Eeemm.... fikir-fikirkan lah... apa sebenarnya didalam hati mereka sekiranya mereka berkelakuan begitu dihadapan kita...