Cinta Cikgu Razman IV



Episod IV
Cinta Cikgu Razman
----------------------------------------


Akhirnya Fatihah berkahwin juga dengan Azizi.  Kalau sudah jodoh memang tidak akan ke mana perginya.
“Asalammualaikum Kak Lia, ini ada surat untuk akak”  suara anak kecil mengejutkan lamunan ku.
“Waalaikumsalam Siti, terima kasih ek.... “ Aku mengukir senyum yang paling manis kepada Siti Aisyah, budak Tahun Tiga Pintar yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu pejabat SK Seri tempat aku bertugas kini, dia menghulurkan surat bersampul warna biru muda dan terus berlalu.  Sampul yang berisi kad jemputan kahwin dan disertakan sekali dengan sepucuk surat.
Marlia sahabatku… Assalammualaikum. 



Kemaafan ku pohon seandainya kehadiran warkah ini mengganggu situasimu ketika ini.  Pasti sekali kau sudah membaca kad jemputan kahwin yang ku kirimkan ini.  Iya.. aku akan berkahwin dengan Maliki. Seorang lelaki yang pernah dulu aku buang dan hari ini ku kutip semula.  Betapa hinanya Maliki di mata hati aku Marlia.  Sungguh aku sendiri tidak tahu bahawa aku ini terlalu kejam.  Aku tidak tahu mensyukuri keikhlasan yang luhur yang telah Maliki cuba hulurkan untuk aku.  Aku persiakan kejujuran Maliki sehingga aku sanggup putuskan pertunangan kami dan aku turutkan kata hati untuk memperhambakan diri kepada cinta Azizi. Padahal siapa Azizi untuk aku agung-agungkan?  Azizi sebenarnya sudah beristeri dan mempunyai 3 orang anak.  Dia menipu aku mengatakan dia masih bujang.  Aku telah berdosa kepada Maliki dan aku telah menerima balasannya.  Aku menyesal Lia.. Aku juga ingin meminta maaf kepada kau kerana pernah menyakitkan hati dengan mengungkit peristiwa putus tunang kau dengan Adam suatu ketika dulu.  Aku terlalu menurut hati Lia, sehingga aku lupa bahawa aku telah mengasari sahabat ku sendiri.  Daerah Hiliran ini tidak sebesar mana pun untuk aku merahsiakan segala perbuatan hina aku disini.  Begitu juga di SK Hiliran, aku tidak akan mampu menyembunyikan rahsia ini sampai bila-bila.  Semua orang sudah tahu.  Aku cukup malu Marlia.. sana sini mereka sering bercakap tentang aku perampas suami orang.  Aku sedar, sememangnya aku ini memang layak menerima balasan sebegini.  Itu adalah hak mereka untuk berkata.  Aku sedar semua ini silap aku. Aku bersyukur kerana Maliki masih sudi menerima aku dan masih terbuka hati untuk mengambil aku sebagai isterinya. Aku baru tahu rupa-rupanya Maliki benar-benar mencintai aku.  Maliki sungguh berhati mulia.
Aku harap kau sudi memaafkan aku Marlia.  Samantha juga sudah aku ceritakan segalanya.  Aku minta maaf… maafkan segala kesilapan aku.

Wassalam.


Surat dari Fatihah dilipat rapi lalu ku masukkan ke dalam sampul semula.  Ada sedikit rasa sebak setelah membaca setiap baris tulisan Fatihah.  Sesungguhnya Fatihah, aku tidak pernah menyimpan dendam terhadap kau.  Memang pernah suatu ketika dulu hati aku cukup terguris dengan kata-kata yang kau lemparkan tetapi itu hanya berhenti disitu.  Aku faham, dengan situasi yang kau alami itu telah mendesak hati nurani kau untuk bertindak sebegitu. 

            Fatihah dan Samantha sudah ada keluarga sendiri.  Samantha setelah berkahwin sudah dikurniakan seorang anak dan aku yakin kehidupan yang dikurniakan kepadanya sudah cukup lengkap.  Fatihah kini sudah bergelar seorang isteri.  Ku harap Fatihah akan tabah dalam mengharungi kehidupan berumahtangga.  Semoga kalian berdua berbahagia bersama keluarga masing-masing.  Aku masih sendiri.  Aku masih setia dengan gelaran ‘cik’ yang entah bila akan naik taraf kepada gelaran seorang ‘puan’. 
Selepas putus tunang aku pernah berkata dalam hati ku sendiri untuk tidak bercinta lagi dengan mana-mana lelaki.  Tetapi aku tidak menolak ketentuan jika ada jodoh buat aku, aku akan terima.  Untuk memulakan cinta dengan seseorang aku sudah nekad tidak akan lakukan itu.  Tidak beerti aku sudah serik.  Tidak juga bermakna aku membenci lelaki tetapi kata hati ku ini sudah meminta aku berbuat begitu maka itulah haluan yang ku pilih.  Biar Allah s.w.t yang akan menentukan jodoh, hidup dan mati ku. 


Marlia Bahren
            Fatihah pernah berkata, aku ini seorang yang berwajah manis dan akan lebih menampakkan manisnya kalau aku tersenyum kerana aku memiliki sepasang lesung pipit di pipi.  Kenyataan itu sesungguhnya tidak dapat diselindung kerana ia memang ada.  Aku hanya tersenyum biasa mendengar pujian Fatihah.  Samantha mengiyakan apa yang telah Fatihah perkatakan lalu berkata bahawa aku juga seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap.  Kalau aku mengeluarkan kata-kata untuk bercakap hanya jika ia benar-benar perlu. 

            Iya, aku tidak menafikan apa yang dikatakan oleh Samantha.  Aku bukan jenis yang banyak cakap.  Aku lebih suka berdiam diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak perlu.  Bagi orang yang baru mengenali aku mungkin akan menyangka aku ini seorang yang agak sombong.  Tetapi sebenarnya tidak.   Agak segan jugak untuk mengiyakan pengakuan Fatihah tentang lesung pipit semulajadi ku ini.  Itu semua adalah satu pemberian yang nyata dari Allah untuk umatnya.  Kita harus bersyukur. 

Aku lahir dalam bulan November, kalau ikut kalender tahun aku lahir adalah bawah zodiac scorpio.  Lahir dari keluarga yang tidak berapa senang.  Hidup hanya dengan cukup makan.  Bak kata orang, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Itulah hidupku.  Bapa telah meninggal dunia 7 tahun yang lalu.  Menurut doktor bapa meninggal disebabkan menghidap sakit buah pinggang.  Kami adik beradik redha dengan  pemergian bapa.  Walau pada hakikatnya kenyataan itu amat payah untuk diterima tetapi ketentuan Tuhan adalah yang sebenarnya.    Semoga bapa sentiasa aman di sana dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, Amin. 
            Emak seorang yang cukup berhati kental.  Segala perit getir hidup yang dilalui bersama bapa semasa hayatnya masih ada langsung tidak pernah mematikan semangat emak untuk membesarkan anak-anaknya.  Aku cukup menyanjungi ratu hati ku itu.  Tiada perempuan lain yang dapat menandingi betapa luhurnya hati seorang yang bergelar ibu seperti emak. 
            Sebelum arwah ayah meninggal dia pernah berkata, “Lepas ni siapa sahaja calon suami Lia cuma bapa saja yang akan tentukan.”  Ini kata-kata bapa setelah dia mendapat tahu Adam telah memutuskan pertunangan kami.  Aku masih ingat kata-kata itu.  Aku tahu, hati bapa benar-benar kecewa.  Begitu juga dengan emak apalagi adik-beradik ku yang lain.  Hati bapa dan emak mana yang akan senang bila melihat anaknya diperlakukan sebegitu.  Aku faham bagaimana perasaan seluruh keluarga ku selepas peristiwa itu. 
            Kata-kata bapa sentiasa ku ingat sampai bila-bila.    Aku terima keputusan bapa walau dalam cara apa sekalipun.  Kerana aku tahu setakat mana kemampuan diri dalam mencari jodoh yang baik dan sepadan.  Aku tidak punya kemahiran yang mencukupi untuk itu.  Sayangnya bapa tidak sempat untuk menunaikan kata-katanya.  Maka aku berserah sahaja kepada takdir yang menentukan jodoh, ajal dan maut ku selepas ini.  Kalau telah tersurat aku akan begini sampai ke akhir hayat aku redha.  Aku juga tidak mampu menolak jika jodoh datang menghampiri kerana itu adalah takdir Allah buatku.
           

Facebook
            Laman social facebook sudah menjadi ‘teman karib’ ku ketika ini.  Semenjak menjadi sebahagian daripada kakitangan SK Seri aku menjadi seorang yang sedikit celik IT.  Satu perkembangan yang agak menyenangkan hati kerana aktiviti ini aku rasakan agak baik untuk mengisi masa lapang. Dengan fb kita akan dapat berhubung dengan ramai kawan dan kenalan.  Kita dapat cari kawan-kawan lama, bekas-bekas guru yang pernah mengajar kita dulu dan mencari segala keperluan seperti baju, tudung, aksesori wanita dan segala-galanya ada diiklankan diintenet.  Malah, dengan intenet pulak kita boleh cari duit, itu yang sering orang perkatakan. 

            Petang Ahad, rutin harian dihujung minggu aku akan mengemas bilik.  Tetapi petang itu aku rasa agak berat tangan nak melaksanakan kerja kemas mengemas.  Laptop hp yang ku beli setahun lalu sentiasa terpasang dengan laman fb sejak semalam.  Menjengah sebentar ruang inbox, ada 10 permintaan sedang menunggu pengesahan menjadi rakan.  Aku abaikan 5 dan selebihnya aku sahkan menjadi rakan.  Salah seorang daripadanya ialah yang menggelarkan dirinya sebagai ‘manz’.  Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh terbuka hati untuk sahkan dia sebagai rakan. Selalunya, aku akan sahkan mana-mana rakan yang betul-betul kenal sahaja.  Tambahan pulak, dalam fb ni terlalu ramai yang lebih gemar menggunakan nama samaran atau nama palsu.  Kita tidak akan dapat kenal siapa mereka melainkan jika kita terima mereka menjadi rakan barulah kita dapat tahu identiti sebenar mereka.  Itupun kalau mereka tidak memberi maklumat diri yang palsu.  Bagi aku, tiada salahnya kita ramai berkawan daripada ramai musuh.  Berkawan biar beribu. Cuma bagi pendapat peribadi aku, berkawan dalam fb ini kita kena berhati-hati.  Sebab ada segelintir daripada mereka yang mahu mengambil kesempatan lain selain dari ingin menjadi rakan. 

            Sedang asyik memuat-turun lagu ‘Tanpa Mu’ nyanyian Kris Dayanti Dan Siti Nurhaliza tiba-tiba nada dering untuk mesej chatting berbunyi.  Tertera nama ‘manz’ telah menghantar mesej bertanya khabar.  Pada mulanya aku agak berat hati nak membalas sebab aku memang kurang berminat nak berchatting. Apalagi kalau dengan orang yang memang tidak dikenali langsung.  Apa yang mengejutkan apabila dia menyebut nama penuh aku dan bercerita tentang SK Hiliran.  Sebuah sekolah yang berada di daerah yang pernah aku diami hampir 10 tahun yang lalu.  Disebabkan itu aku beranggapan sudah tentu dia mengenali aku dan aku juga kenal siapa dia.  Ia telah mendorong aku untuk membalas mesejnya. 
            Rupa-rupanya ‘manz’ ialah Cikgu Razman, seorang yang memang aku telah kenali 10 tahun yang sudah lalu semasa aku masih bermastautin di Daerah Hiliran dan bertugas di SK Hiliran. 


            Cikgu Razman
            Cikgu Razman Hasbilah anak jati Kampung Martu bersebelahan dengan Kampung Hiliran.  Cikgu Razman berusia dalam lingkungan 30-an, hitam manis dan seorang yang sangat peramah.   Sebelum mengajar di SK Hiliran, Cikgu Razman pernah berkhidmat di SK Ulu Permata.  SK Ulu Permata adalah sebuah sekolah yang agak jauh dari Daerah Hiliran.  Untuk ke sekolah berkenaan kena memakan masa lebih kurang 3 jam dengan menaiki perahu.  Menurut cerita Cikgu Razman kepada kami semua dia memohon pindah dari SK Ulu Permata adalah disebabkan oleh isterinya sakit dan memerlukan rawatan susulan pada setiap bulan.  Dengan alasan itu Cikgu Razman telah berpindah dan ditempatkan di SK Hiliran, lebih-lebih lagi Hospital Daerah Hiliran bersebelahan dengan SK Hiliran.

            Belum sempat untuk mengenali Cikgu Razman dengan lebih rapat lagi pada penghujung tahun itu aku telah berpindah.  Hanya setakat itu cerita Cikgu Razman yang aku ketahui.  Tidak banyak cerita untuk diimbas kembali.  Cuma yang masih aku ingat sepanjang tahun itu Cikgu Razman memang sering mengambil cuti.  Sehinggakan 7 hari cuti rehat khas (CRK) yang diperuntukkan telah dihabiskan sebelum sampai hujung tahun.  Sebagai kerani sekolah untuk menguruskan hal borang cuti guru-guru memang salah satu dari tugas aku.  Disebabkan itulah aku boleh tahu mana-mana guru yang ada atau tiada di sekolah pada masa-masa tertentu.  Aku tahu Cikgu Razman memohon cuti bukan untuk suka-suka tetapi terpaksa demi untuk mengiringi isteri hadir temujanji dengan doktor pakar. 

                        Semenjak menjadi rakan di fb, hampir setiap hari dan setiap malam Cikgu Razman menghantar mesej untuk mengajak bersembang.  Selalu bertanya khabar dan bercerita tentang rutin hariannya yang sentiasa sibuk semenjak dilantik sebagai guru data di sekolah.  Tidak pernah sekalipun Cikgu Razman bercerita tentang isteri dan anak-anaknya. Aku juga tidak pernah berfikir untuk bertanya tentang itu.  Entah bagaimana malam itu tiba-tiba aku tergerak hati untuk bertanya khabar isterinya yang sakit dulu dan tentang anak-anaknya.  Agak lama Cikgu Razman mendiamkan diri tidak membalas mesej yang aku hantarkan.  Aku beranggapan mungkin Cikgu Razman mengantuk dan mahu tidur.  Maka aku biarkan soalan itu tergantung disitu.  Mungkin Cikgu Razman ingin mencari ruang sesuai untuk menjelaskan kerana hampir 10 minit aku menunggu akhirnya Cikgu Razman membalas juga.

            Sudah pasti aku berasa terkejut dan nafas tiba-tiba rasa tersekat.  Jawapan Cikgu Razman mengatakan isterinya telah meninggal dunia setahun yang lalu cukup memeranjatkan aku.  Isterinya menghembuskan nafas terakhir dikediaman mereka sendiri di Kampung Hiliran.  Sungguh… aku tidak pernah menyangka semua itu telah berlaku. 

            Aku turut bersimpati diatas apa yang telah berlaku terhadap Cikgu Razman.  Sesungguhnya, begitulah hakikat kehidupan kita didunia ini.  Pada bila-bila masa sahaja kita pasti akan pergi menyahut seruan Ilahi.  Tetapi kita semua tidak tahu bila kita akan pergi, di mana dan dalam situasi yang bagaimana.  Bagi kita yang masih bernyawa di bumi Allah ini haruslah menggunakan peluang yang masih ada sekelumit itu dengan sebaik-baiknya.  Penuhilah sisa-sisa hidup yang ada dengan amal dan amalan yang sempurna dan mulia sebagai bekalan kita di hari muka. 
            Cikgu Razman telah lalui sebuah perjalanan hidup yang agak sukar dan perit.  Menjalani kehidupan seorang diri selepas kepergian seorang insan yang amat kita sayang dan cinta adalah terlalu memedihkan.  Terasa hidup tidak mampu untuk diteruskan.  Membayangkan laluan yang terbentang di hadapan mata seperti sudah tidak berarah.  Itulah luahan hati Cikgu Razman.

**nantikan episod akhir...akan bersambung, tunggu... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan