Semangat Juang Fatin & Aisyah Yang Merisaukan


Beberapa hari lepas saya ada menulis nota di Facebook bercerita tentang dua orang puteri kesayangan, Siti Aisyah dan Fatin Munirah yang akan masuk pertandingan hafazan di Sarikei.


Berat sungguh hati nak menghadirkan diri pada hari kedua majlis itu iaitu semalam, pada hari sebelumnya (sabtu) saya memang hadir bersama suami sebab hari tu hari pertandingan. Semalam hanyalah hari penyampaian hadiah kepada pemenang sahaja. Dalam kotak fikir saya berkata begini...kalaulah anak-anak ku tak dapat apa-apa dalam pertandingan tu pasti mereka akan kecewa, lebih-lebih lagi bila tengok kawan-kawan lain menerima hadiah.


Berkali-kali saya buat 'ceramah' dan hampir tiap hari asyik mengulang perkara yang sama depan Fatin dan Aisyah...kalah menang kita tak kira nak...yang penting kita ada menyertai pertandingan ini dan mewakili sekolah. Mak mahu anak-anak mak dapat membiasakan diri berhadapan dengan khalayak ramai dan tidak takut untuk menyertai pertandingan lain suatu hari nanti. Adat pertandingan, kalah dan menang itu biasa...jangan kira sangat tentang hadiah, ok...Kalau berjaya, alhamdulillah...kalau kurang berjaya pun, kita bersyukur kerana dari itu kita telah beroleh petunjuk dan pengalaman yang berharga.

Permata hati 2 orang tu hanya tersenyum mendengar celoteh saya. Tak tahulah dalam hati mereka apa agaknya yang difikirkan. Saya tak kesah tentang itu, yang penting saya amat berharap apa yang saya pesan akan tersemat rapi dalam hati mereka.
** Fatin Munirah ~ gambar ni diambil pada hari majlis khatamal Al-Quran.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, matlamat dan hala tuju kita untuk masuk bertanding ialah hanya satu, mahu jadi juara. Paling tidak pun dapat no2 atau no3 sudah memadai. Itu tujuan sebenar, kan...? Siapa yang suka-suka masuk bertanding mahu kalah, betul tak?


Saya cuba selindungkan semangat itu dari diketahui oleh anak sebab saya tidak mahu mereka berdua terlalu berharap. Dalam tidak sedarpun, sebenarnya saya dan suami tiap hari dan tiap masa sentiasa memberi semangat yang jitu kepada mereka berdua. Terlalu kecewa maksud saya disini ialah, mereka berdua akan terlalu berharap hadiah-hadiah yang diimpikan itu akan tetap menjadi milik mereka. Itu yang saya tak mahu. Walaupun sebenarnya saya memang inginkan kejayaan itu menjadi milik mereka berdua juga.


Budak-budak kalau kita cakap tentang hadiah, mereka sungguh teruja. Semangat membara-bara nak masuk bertanding. Antara Fatin dan Aisyah...Aisyah adalah orang yang paling beriya-iya nak masuk pertandingan ni. Sedangkan mengaji pun dia belum khatam lagi. Si ayah dah mula risau...nak tak nak, dalam masa 4 hari yang singkat itu ayah terpaksa mengajar tak kira masa.
** Siti Aisyah ~ Gambar kenangan semasa Majlis Konvokesyen Pra Sekolah 2010.


Malam Ahad (keesokannya hari penutupan majlis dan pengumuman nama pemenang), Aisyah sering bertanya dia dapat nombor berapa, ada hadiah tak? Tiap kali dia bertanya tiap kali itu juga saya akan 'mereka-reka' jawapan untuk dia. Berhadapan dengan situasi begini memang payah tetapi kita mesti pandai mengatur ayat dan apa saja yang akan kita beritahu mereka kita mesti berhati-hati. 


Saya paling takut dengan si Aisyah ni.....dia selalu sebut pasal hadiah dan bertanya tentang nombor yang dia dapat. Susah...kan? Itu yang membuatkan saya merasa 'berat hati' nak menghadirkan diri pada hari penyampaian hadiah tu. Bukan bermakna saya tidak mahu menerima kenyataan yang anak-anak saya tidak berjaya, tidak. Saya boleh terima apa-apa keputusan dengan hati yang terbuka. Begitu juga dengan anak-anak saya. saya amat yakin...Fatin dan Aisyah sudah bersedia untuk berhadapan dengan apapun kenyataan.  Kerana mereka berdua telah memiliki semangat seperti apa yang mak dan ayah mereka miliki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan