Telinga Berdesing Vs Telinga Pedas

Hari ini hari penat bagi aku, 'ari tok ari lelah...mun bahsa mek urang'. Bermula jam 8 sudah keluar rumah, hari ni appoinment Akim dengan doktor pakar di Klinik Pakar. Kalau ikut seperti yang tertulis didalam kad kesihatan Akim, temujanji tu jam 9 pagi. Sampai di klinik pakar sebelum jam 9. Aku rasa kedatangan aku di klinik itu sudah cukup menepati masa seperti yang telah ditetapkan. Seperti biasa simpan kad dalam bakul khas dan duduk menunggu panggilan oleh cik mek molek cute miut jururawat-jururawat yang bertugas. Masa menuggu kali ni terasa lama pulak...kalau biasa 5-10 minit dah kena panggil dah..dan mereka akan beri nombor giliran sekali.


Hairan dengan 'kelamaan...' itu, aku start la nak buat perangai sikit. Bukan apa, sekadar nak tahu sahaja. Kat kaunter pendaftaran seorang jururawat pun dah tiada lagi. Nak tau mereka dah pi mane? Masing-masing bukak bekalan dari rumah dan kuih muih yang baru dibeli dari kantin kot (sebab aku nampak ada 2-3 bungkusan plastik siap atas meja), mereka dah ready nak bersarapan sedangkan di luar betapa ramainya ibubapa dan anak-anak yang tengah menunggu. Isshh....isshh..isshh...!

Boleh lagi nak mengisi perut sendiri, sedangkan tugas dan tanggungjawab diabaikan. Tengok jam di dinding. Masa rehat ke ni..???

Berjalan 2-7 langkah menuju ke kaunter pendaftaran, yang ada berdiri di kaunter tersebut cuma seorang pekerja am (gaya lagaknya...) seorang perempuan yang sudah agak berumur. Aku tanya la..kenapa kali ni lama sangat menunggu, nombor giliran pun belum diagihkan. Dengan selamba 'derkk' nya makcik tu jawab. "Doktor belum sampai lagi jam ni...mungkin pukul 10.30 pagi nanti sampai la, itu pun kalau sampai...korang datang awal sangat pasal?? Ikut masa la...".

Berdesing sikit telinga aku mendengarnya. Yang tak sedap telinga ini mendengarnya, dia cakap kita ni datang kena ikut masa. Aku tak ikut masa ke??

So, aku jawab la apa yang patut kat makcik tu. Disebabkan aku sedar aku ni masih muda lagi kalau dibanding dengan dia (sebab aku tau dia memang dah tua pun...) jadi, aku hormat dia dan jawab dengan sedikit sopan tapi 'pedas' sikit la...mana ngam kalau dia dah kasi telinga aku berdesing, tak patut aku tak boleh nak balas agar telinga dia merasa pedas sikit. Padan muka...!! "Ko ingat aku tak sekolah ke..?"

Aku pernah jugak bekerja di bahagian hadapan ni....khidmat kaunter la maksudnya. Ciri-ciri kesopanan dan ketatasusilaan yang sepatutnya ada pada seorang pekerja yang bertugas di kaunter mesti sentiasa ada dan dipraktikkan walau dalam apa situasi pun. Jangan menjawab apa yang pelanggan kita tanya ikut sesuka hati dan ikut sedap mulut. Orang lain pun ada mulut jugak, kan.

Seperkara lagi, kalau doktor belum ada pada masa itu apa salahnya mereka beritahu kami semua kat situ agar kami tahu dan tidak perlu menunggu lama. Susah sangat ke? Dalam masa satu jam setengah nak menunggu tu, sempat lagi kalau kita nak pergi kantin ke, pergi gerai makan ke untuk mengalas perut atau apa-apa, ini tak....adoiiii.

Aku pun pernah panas hati jugak semasa bertugas kat kaunter ni bila diaju dengan pelbagai soalan dan bila berhadapan dengan bermacam-macam karenah manusia. Aku rilex jer...sedaya upaya aku nak cover apa yang sebenarnya berlaku dan explain la dengan sepatutnya kepada pelanggan agar mereka berpuas hati.

Suka nak tegur sikit la dengan seikhlasnya kepada sesiapa yang bertugas kat kaunter ni, kita mesti sentiasa mesra dengan sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat kita. Jangan mahal dengan senyuman. Belajarlah untuk memesrakan diri dan menjadi seorang yang ringan tulang untuk membantu. Belajar cara bercakap dengan betul dan sopan walaupun orang itu lebih muda dari kita. Hormat menghormati antara satu dengan lain perlu ada.

Kita manusia biasa memang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Samada yang nampak atau tidak kita harus sentiasa ingat bahawa kita adalah 'Berkhidmat Untuk Negara'. PM selalu tegaskan bahawa 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan laungan '1 Malaysia' bagai tak luak sentiasa dilaungkan oleh segenap lapisan masyarakat disekeliling kita.

Mohon maaflah kepada semua jururawat atau yang sewaktu dengannya. Bukan niat untuk 'komplen' dengan apa yang telah berlaku. Entri ni ikhlas lahir dari hati nurani seorang manusia yang punya hati dan perasaan. Dan, kepada makcik yang berdiri kat kaunter tu, sesekali belajarlah cara bagaimana untuk menjawab dan melayan pelanggan dengan betul.

Tak ingin terlalu memanjangkan cerita ini, eloklah berhenti disini buat sementara waktu. Harap kesah pagi tadi tidak akan berulang lagi pada 3 bulan akan datang, kerana pada 3 bulan akan datang (bulan Jun) sekali lagi appoinment Akim di klinik yang sama. Kita tunggu dan lihat. Noktah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan