Cinta Yang Jijik

Hati tiba-tiba menjadi sebak, entah disebabkan apa harus berasa begitu, pun tidak pasti.

Baru sekejap menerima panggilan telefon daripada seorang ibu. Berbual hampir 10 minit. Perihal rumahtangga seorang anak menjadi tajuk perbualan. Kisahnya lebih kurang begini...

Anak perempuannya yang sulung telah berkahwin hampir 4 tahun dan mempunyai seorang anak. Masa sekarang dia telah menghadapi masalah dengan suami, si ibu menyangkakan itu 'perkara biasa' dalam rumahtangga. lantaran itu dia tidak mengendahkan sangat sebab tidak mahu dianggap mencampuri urusan rumahtangga anak-anak. Oleh kerana hati dan perasaan seorang ibu memang tidak dapat disembunyikan rasa tanggungjawab dan simpatinya terhadap anak maka si ibu telah nekad untuk melakukan sesuatu.

(Boniy & CT...minta izin makcu 'gunapakai' pic nie...k...cayaaanggg....)

Berjumpa dengan seorang dukun diharap akan memberi satu jawapan yang jelas kepada permasalahan si anak. Bukan bertujuan untuk 'mendukunkan' anak sendiri atau anak menantu. Niat si ibu cuma ingin tahu dan memastikan apa sebenarnya masalah yang dihadapi sehinggakan anak menantunya itu jauh berubah, tidak seperti mula dulu sewaktu mula-mula menjadi suami anaknya.

Dukun itu berkata, suami kepada anaknya telah 'memakan' sesuatu yang telah diberikan oleh seseorang dalam makanannya tanpa disedari. Tujuannya adalah untuk membuat dia membenci isterinya. Dan, orang yang memberikan makanan kotor itu kepada suami anaknya adalah seorang perempuan. Dipercayai juga, perempuan itu ada menaruh hati kepadanya.

Amat terkejut mendengar cerita dari seorang ibu ini, perbualan selama hampir 10 minit itu bisa membuatkan hati tertanya-tanya beribu-ribu kali...kenapa??? Kenapa dizaman moden begini masih wujud juga orang-orang sebegini. Sanggup melakukan perkara terkutuk demi untuk kepentingan serta kebahagiaan sendiri tanpa memikirkan tentang orang lain.

Akan bahagia kah kita sekiranya kita telah pernah menghancurkan kebahagiaan orang lain? Akan kekalkah hubungan yang tidak jujur kita itu nanti sedangkan cinta itu tidak lahir dari hati dan ia sebenarnya lahir dari makanan yang kotor dan terkutuk. Itu bukan cinta suci...! Itu adalah cinta pura-pura yang sungguh jijik untuk disemai dengan ikatan kasih sayang sebagai suami isteri. Oh, tidak.

Tidak tahu apa agaknya keputusan si ibu selepas ini. Aku sungguh bersimpati kerana aku juga seorang ibu, perempuan dan seorang isteri. Mohon kepada Allah, berikanlah petunjuk kepada kami sebagai hamba mu yang lemah ini agar mampu memilih jalan yang benar dan diredhai. Mohon kepada Mu agar membuka hati insan yang telah dikaburi hatinya. Sesungguhnya Ya Allah, Engkaulah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui segalanya dan Maha Mengasihi umat Mu.
Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan